HULU TERENGGANU – "Mulanya saya ingatkan tergigit batu kecil yang ada dalam nasi tetapi setelah saya keluarkan, saya dapati ia seolah-olah bola kristal kecil dan apabila dibuang ke lantai, ia melantun beberapa kali," cerita Awang Ngah, 42.


Menurutnya, dia dan isterinya, Nor Azila Ibrahim, 38, hairan dan terkejut apabila mendapati beras dibeli mereka di sebuah kedai di Kuala Berang Ahad lalu, mengandungi bendasing yang tidak dapat dikenal pasti.


"Saya membeli dua kampit beras seberat 10 kilogram. Keesokan harinya, isteri saya masak nasi gunakan beras tersebut untuk makan tengah hari dan malam tetapi ketika menikmati makan malam, saya tergigit benda keras yang saya sangka batu kecil.


"Tetapi saya terkejut apabila mendapati bendasing itu berwarna jernih, seolah-olah bebola kristal. Apabila dimaklumkan kepada isteri, dia juga mengaku menemui benda yang sama ketika menikmati makan tengah hari" katanya.


Awang berkata, musykil dengan perkara itu, dia dan isterinya melihat beras yang disimpan dalam bekas dan lebih memeranjatkan apabila mereka menemui hampir 20 biji bebola itu sebesar kepala mancis.


"Sebelum ini, saya sendiri tidak pernah menemui benda seperti ini dalam beras.


“Kerana khuatir, kami tidak lagi menggunakan beras berkenaan, malah sekampit beras sama belum sempat digunakan ibu, Saudah Seman, 74, diberi makan kepada ayam kerana ia mengandungi bendasing sama,” katanya.


Awang yang bekerja buruh kampung berkata, dia sekeluarga pelik dengan penemuan itu dan berharap supaya pihak berkenaan menjalankan siasatan kerana khuatir ia memberi kesan kepada kesihatan pengguna.


“Disebabkan bendasing ini tidak hancur, saya khuatir ia akan membahayakan individu sekiranya tertelan. Malah, apabila dibakar hanya bertukar warna seakan-akan warna lilin.


“Beras saya beli ini dibungkus di sebuah kawasan di Kuala Nerus. Saya sendiri tidak pasti sama ada bebola bulat ini memang dimasukkan ke dalam beras ataupun tidak disengajakan tetapi yang pasti saya belum pernah menemui bendasing sebegini terdapat dalam beras dibeli sebelum ini,” katanya