NEW DELHI - Seorang guru yoga, Madan Kataria akan membina
sebuah 'universiti ketawa' di bandar Bangalore, selatan India.
Universiti tersebut akan didirikan di sebuah kawasan yang
didermakan oleh seorang kontraktor bangunan.
Seorang taikun turut mendermakan sebanyak AS$250,000
(RM761,366) untuk tujuan pembinaan universiti itu.
"Dalam tempoh tiga bulan, kami akan memulakan
kerja-kerja pembinaan dan menjelang tahun 2013, kami akan mengendalikan
universiti itu.
"Kami mahu membina sebuah ibu pejabat untuk komuniti
yoga ketawa di seluruh dunia," katanya.
Beberapa kajian mendapati ketawa boleh mengeluarkan endorfin
iaitu bahan kimia dalam otak yang baik untuk kesihatan.
"Ketawa merupakan perkara paling sihat yang boleh anda
lakukan. Ia merupakan ubat yang terbaik," katanya.
Kataria berusia 58 tahun dan dia menjadi inspirasi penubuhan
ribuan 'kelab ketawa' di India dan seluruh dunia termasuk di Beirut dan Berlin.
Dia juga mengendalikan sesi ketawa di sekolah, penjara,
hospital dan rumah untuk orang tua.
Beberapa tahun lalu, Kataria yang juga seorang doktor
perubatan pernah memberitahu di hadapan sebuah jawatankuasa Dewan Senat Amerika
Syarikat (AS) bahawa senaman yoga ketawa boleh membantu negara itu mengurangkan
kos penjagaan kesihatan.
Dia mengendalikan Institut Yoga Ketawa yang bukan berasaskan
keuntungan di Mumbai.
Menurutnya, seseorang itu perlu ketawa dengan kuat selama 15
hingga 20 minit sehari untuk memperoleh faedah kesihatan.
Seorang doktor di Klinik Mayo di AS, Amit Sood berkata,
ketawa boleh mengurangkan tekanan dan memperbaiki proses penghadaman. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan